Monday, July 11, 2011

KENALI SEKOLAH KEBANGSAAN KODIANG

SEJARAH SEKOLAH
Perkataan Kodiang berasal daripada bahasa Siam yang membawa maksud Bukit Merah. Pada awalnya sekolah ini dinamakan sebagai Sekolah Melayu Kodiang iaitu mengikut nama tempatnya. Sekolah ini dibuka dengan rasminya pada 26 Ogos 1932. Pada tahun 1959 namanya telah ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan Kodiang. Nama ini terus kekal hinggalah ke hari ini.

VISI
Sekolah Kebangsaan Kodiang akan menjadi sekolah cemerlang dalam daerah Kubang Pasu pada tahun 2013.

MISI
Warga Sekolah kebangsaan Kodiang berazam untuk :
1.    Mewujudkan pengurusan yang cekap dan berkualiti.
2.    Memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
3.    Melahirkan sahsiah murid yang cemerlang dan seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani dan intelek.
4.    Mewujudkan budaya saing yang sihat.
5.    Mewujudkan prasarana dan persekitaran  sekolah yang kondusif dan ceria.
6.    Mewujudkan budaya muafakat dalam komuniti setempat.

DEFINISI LENCANA SEKOLAH


Lencana Sekolah Kebangsaan kodiang berbentuk sebuah perisai. Di dalam lencana ini terdapat tangkai padi yang melambangkan pekerjaan utama penduduk sekitar kawasan ini sebagai pesawah. Obor berwarna merah bermaksud kegigihan , keberanian dan kekuatan. Lencana ini mempunyai cogan kata ' Pengetahuan Suluh Kemajuan ' yang bermaksud ilmu yang dituntut dan diamalkan akan membawa perubahan kepada seseorang.Latar belakang yang berwarna hijau pula membawa maksud keharmonian prasarana sekolah dan lambang keunggulan Agama Islam.

BILIK-BILIK KHAS DI SK KODIANG.

- MAKMAL ICT
- BILIK J-QAF
- PUSAT AKSES
- MAKMAL SAINS
- PKG
- SURAU
- PUSAT SUMBER

PANORAMA INDAH SEKOLAH KEBANGSAAN KODIANG

                                                   
                                                         SEKOLAH KEBANGSAAN KODIANG,06100 KODIANG, KEDAH.

TIP MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Assalammualaikum kepada rakan-rakan dan pembaca yang sudi membaca paparan blog saya. Saya ingin berkongsi mengenai tip persediaan menghadapi peperiksaan sama ada UPSR,PMR,SPM dan STPM. Semoga tip ini dapat dijadikan panduan terutama untuk pelajar-pelajar kita. Semoga berjaya.

Berikut diberikan beberapa tip sebagai panduan sebelum menduduki peperiksaan iaitu :


1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Sunday, July 10, 2011

SINOPSIS : ICT DALAM PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK





TAHAP PENGGUNAAN MEDIA KOMPUTER (PERISIAN KURSUS DAN INTERNET) DALAM PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM
KALANGAN GURU-GURU SAINS DAN MATEMATIK DAERAH TEMERLOH.


 Bagi mencapai wawasan dan inspirasi negara, Malaysia tidak ketinggalan dalam mengecapi arus perdana pembangunan berasaskan teknologi komputer. Dari perspektif harian, komputer bukan sahaja mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi sebagai alat untuk menjayakan lagi aspek persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran.
Dalam proses pengajaran penggunaan pelbagai media adalah diutamakan untuk merangsang pemikiran pelajar, namun begitu komputer merupakan media penting yang digunakan untuk membantu guru-guru menangani cabaran dunia kini dalam memantapkan ilmu Sains dan Matematik di kalangan pelajar-pelajar.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru merupakan orang yang paling hampir dengan pelajar, pakar kepada subjek yang diajar dan mengenali serta mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar.Dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, media teknologi digunakan sebagai satu wahana untuk mengoptimumkan hasil pembelajaran. Antara contoh media teknologi yang digunakan ialah televisyen, radio, video, perisian komputer, perisian kursus, dan internet.
Memandangkan kepentingan penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, kemahiran komputer guru-guru juga menjadi aspek penting. Tanpa kemahiran mengendali dan memanipulasi sesuatu alat, betapa penting dan berguna pun peralatan tersebut tidak akan memberi kesan atau faedah. Begitu juga dengan komputer, walaupun terdapat banyak kelebihan dan kekuatan menggunakan komputer dalam pengajaran tetapi jika guru-guru tidak menggunakannya, segala pelaburan dan harapan hanya akan menjadi sia-sia.



                Jika dilihat pada penggunaan perisian kursus, lebih ramai guru-guru Sains yang menggunakannya berbanding dengan guru-guru Matematik. Ini mungkin kerana peralatan-peralatan ICT yang diperlukan untuk menggunakan perisian kursus telah dilengkapkan di dalam makmal sains. Guru-guru Sains tidak perlu membawa peralatan yang banyak ke dalam kelas dan tidak perlu menempah bilik tayangan atau bilik media untuk menggunakan perisian kursus ini.
                 Di samping itu, setiap makmal sains mempunyai pembantu makmal yang boleh membantu guru-guru memasang dan menutup kembali peralatan-peralatan yang telah digunakan. Berbanding guru-guru Matematik terpaksa menggunakan bilik tayangan atau bilik media atau terpaksa membawa peralatan seperti ”laptop, lcd, extension wire” di samping buku rekod mengajar ke dalam kelas.       
             
Dari hasil tinjauan yang dibuat, menunjukkan guru-guru Sains di daerah ini mempunyai sikap yang sangat baik terhadap penggunaan perisian kursus dalam membantu pengajaran mereka di dalam kelas. Walaupun kebanyakan guru Sains adalah guru yang berumur lebih daripada 41 tahun, namun mereka tidak takut untuk menggunakan teknologi. Sikap beginilah yang sepatutnya ada pada setiap guru Sains dan Matematik dalam melaksanakan PPSMI dengan berkesan.
Jika dibandingkan dengan penggunaan perisian kursus dalam kalangan guru-guru Matematik, ia agak rendah. Ini kerana pengajaran dan pembelajaran matematik banyak dilakukan di dalam kelas , bilik media atau bilik tayangan berbanding dengan pengajaran dan pembelajaran Sains dilakukan di dalam makmal yang memang telah dilengkapkan dengan peralatan ICT seperti ”lcd projector”, skrin dan ”speaker”. Disamping itu juga setiap makmal mempunyai pembantu makmal yang dapat membantu guru-guru sains menyediakan peralatan ICT sebelum mengajar dan mengemaskannya kembali setelah habis pengajaran.
 Mungkin pengajaran dan pembelajaran Matematik menggunakan ICT dapat dijalankan dengan lebih baik andainya setiap sekolah mempunyai makmal Matematik yang dapat menempatkan banyak peralatan ICT dan alat-alat bantu mengajar Matematik yang lain. Guru-guru Matematik tidak perlu lagi ”berebut-rebut” menempah bilik tayangan atau bilik media yang sangat terhad dalam melaksanakan pengajaran menggunakan perisian kursus yang dibekalkan.
Walau bagaimanapun, tahap penggunaan internet agak rendah dan perlu ada suatu tindakan dilakukan untuk menggalakkan guru-guru menggunakan internet dengan berkesan. Terlalu banyak maklumat yang boleh diperolehi daripada internet, namun masih ramai guru yang tidak menggunakannya.

Kebanyakan guru Sains dan Matematik telahpun menghadiri kursus pendedahan ICT dan telah didedahkan dan diberi kemahiran menggunakan internet dalam mencari maklumat, bahan pengajaran, kemahiran tentang penggunaan komputer dalam menghasilkan bahan pengajaran. Jadi, dari segi pengetahuan dan kemahiran, guru-guru telahpun ada walaupun pada tahap yang sederhana.

Masalah yang sering dikemukan oleh para guru sama ada guru-guru Sains atau Matematik ialah kekurangan masa sama ada untuk mencari maklumat dari internet dan menggunakannya dalam pengajaran atau membina bahan pengajaran menggunakan komputer. Kekangan masa juga menyebabkan guru-guru tidak sempat meneliti bahagian-bahagian perisian kursus yang sesuai digunakan bagi tahap pencapaian pelajar-pelajar yang tertentu.

Kesimpulannya, guru-guru Sains dan Matematik mempunyai persepsi yang sangat baik terhadap penggunaan  komputer dalam pengajaran sama ada dari segi penggunaan perisian kursus atau penggunaan internet. Namun, kekangan masa yang disebabkan tugas yang begitu banyak di samping kemahiran dan pengetahuan yang terhad, maka guru tidak dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan itu dalam pengajaran mereka.

Adalah diharapkan pihak panitia sekolah dan panitia daerah dapat memainkan peranan bagi membantu guru-guru ini menggunakan media komputer dalam pengajaran agar perlaksanaan PPSMI dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pihak pentadbir pula harus meneliti kelengkapan infrastruktur ICT yang ada di sekolah agar semuanya boleh berfungsi dengan baik dan berkesan.
           Sebagai kesimpulan dapat dikatakan penggunaan media komputer dan internet mempunyai potensi untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Jadi, para guru perlu dibantu bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi ini dalam pengajaran mereka supaya guru-guru Sains dan Matematik ini dapat menyahut cabaran  masa depan dengan lebih yakin.     
           Perkembangan dan kemajuan teknologi perlu diikuti dengan perubahan dalam pendidikan iaitu memanfaatkan penggunaan teknologi secara efektif dan efisien. Walaupun penggunaan teknologi menghadapi pelbagai halangan, ini sepatutnya tidak mematahkan semangat guru untuk menggunakannya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Harus diingat bahawa teknologi hanyalah alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ia tidak akan dapat menggantikan kedudukan guru dalam erti kata yang luas. Pendidikan hari ini  adalah untuk kecemerlangan generasi masa hadapan.