Sunday, July 10, 2011

SINOPSIS : ICT DALAM PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK





TAHAP PENGGUNAAN MEDIA KOMPUTER (PERISIAN KURSUS DAN INTERNET) DALAM PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM
KALANGAN GURU-GURU SAINS DAN MATEMATIK DAERAH TEMERLOH.


 Bagi mencapai wawasan dan inspirasi negara, Malaysia tidak ketinggalan dalam mengecapi arus perdana pembangunan berasaskan teknologi komputer. Dari perspektif harian, komputer bukan sahaja mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi sebagai alat untuk menjayakan lagi aspek persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran.
Dalam proses pengajaran penggunaan pelbagai media adalah diutamakan untuk merangsang pemikiran pelajar, namun begitu komputer merupakan media penting yang digunakan untuk membantu guru-guru menangani cabaran dunia kini dalam memantapkan ilmu Sains dan Matematik di kalangan pelajar-pelajar.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru merupakan orang yang paling hampir dengan pelajar, pakar kepada subjek yang diajar dan mengenali serta mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar.Dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, media teknologi digunakan sebagai satu wahana untuk mengoptimumkan hasil pembelajaran. Antara contoh media teknologi yang digunakan ialah televisyen, radio, video, perisian komputer, perisian kursus, dan internet.
Memandangkan kepentingan penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, kemahiran komputer guru-guru juga menjadi aspek penting. Tanpa kemahiran mengendali dan memanipulasi sesuatu alat, betapa penting dan berguna pun peralatan tersebut tidak akan memberi kesan atau faedah. Begitu juga dengan komputer, walaupun terdapat banyak kelebihan dan kekuatan menggunakan komputer dalam pengajaran tetapi jika guru-guru tidak menggunakannya, segala pelaburan dan harapan hanya akan menjadi sia-sia.



                Jika dilihat pada penggunaan perisian kursus, lebih ramai guru-guru Sains yang menggunakannya berbanding dengan guru-guru Matematik. Ini mungkin kerana peralatan-peralatan ICT yang diperlukan untuk menggunakan perisian kursus telah dilengkapkan di dalam makmal sains. Guru-guru Sains tidak perlu membawa peralatan yang banyak ke dalam kelas dan tidak perlu menempah bilik tayangan atau bilik media untuk menggunakan perisian kursus ini.
                 Di samping itu, setiap makmal sains mempunyai pembantu makmal yang boleh membantu guru-guru memasang dan menutup kembali peralatan-peralatan yang telah digunakan. Berbanding guru-guru Matematik terpaksa menggunakan bilik tayangan atau bilik media atau terpaksa membawa peralatan seperti ”laptop, lcd, extension wire” di samping buku rekod mengajar ke dalam kelas.       
             
Dari hasil tinjauan yang dibuat, menunjukkan guru-guru Sains di daerah ini mempunyai sikap yang sangat baik terhadap penggunaan perisian kursus dalam membantu pengajaran mereka di dalam kelas. Walaupun kebanyakan guru Sains adalah guru yang berumur lebih daripada 41 tahun, namun mereka tidak takut untuk menggunakan teknologi. Sikap beginilah yang sepatutnya ada pada setiap guru Sains dan Matematik dalam melaksanakan PPSMI dengan berkesan.
Jika dibandingkan dengan penggunaan perisian kursus dalam kalangan guru-guru Matematik, ia agak rendah. Ini kerana pengajaran dan pembelajaran matematik banyak dilakukan di dalam kelas , bilik media atau bilik tayangan berbanding dengan pengajaran dan pembelajaran Sains dilakukan di dalam makmal yang memang telah dilengkapkan dengan peralatan ICT seperti ”lcd projector”, skrin dan ”speaker”. Disamping itu juga setiap makmal mempunyai pembantu makmal yang dapat membantu guru-guru sains menyediakan peralatan ICT sebelum mengajar dan mengemaskannya kembali setelah habis pengajaran.
 Mungkin pengajaran dan pembelajaran Matematik menggunakan ICT dapat dijalankan dengan lebih baik andainya setiap sekolah mempunyai makmal Matematik yang dapat menempatkan banyak peralatan ICT dan alat-alat bantu mengajar Matematik yang lain. Guru-guru Matematik tidak perlu lagi ”berebut-rebut” menempah bilik tayangan atau bilik media yang sangat terhad dalam melaksanakan pengajaran menggunakan perisian kursus yang dibekalkan.
Walau bagaimanapun, tahap penggunaan internet agak rendah dan perlu ada suatu tindakan dilakukan untuk menggalakkan guru-guru menggunakan internet dengan berkesan. Terlalu banyak maklumat yang boleh diperolehi daripada internet, namun masih ramai guru yang tidak menggunakannya.

Kebanyakan guru Sains dan Matematik telahpun menghadiri kursus pendedahan ICT dan telah didedahkan dan diberi kemahiran menggunakan internet dalam mencari maklumat, bahan pengajaran, kemahiran tentang penggunaan komputer dalam menghasilkan bahan pengajaran. Jadi, dari segi pengetahuan dan kemahiran, guru-guru telahpun ada walaupun pada tahap yang sederhana.

Masalah yang sering dikemukan oleh para guru sama ada guru-guru Sains atau Matematik ialah kekurangan masa sama ada untuk mencari maklumat dari internet dan menggunakannya dalam pengajaran atau membina bahan pengajaran menggunakan komputer. Kekangan masa juga menyebabkan guru-guru tidak sempat meneliti bahagian-bahagian perisian kursus yang sesuai digunakan bagi tahap pencapaian pelajar-pelajar yang tertentu.

Kesimpulannya, guru-guru Sains dan Matematik mempunyai persepsi yang sangat baik terhadap penggunaan  komputer dalam pengajaran sama ada dari segi penggunaan perisian kursus atau penggunaan internet. Namun, kekangan masa yang disebabkan tugas yang begitu banyak di samping kemahiran dan pengetahuan yang terhad, maka guru tidak dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan itu dalam pengajaran mereka.

Adalah diharapkan pihak panitia sekolah dan panitia daerah dapat memainkan peranan bagi membantu guru-guru ini menggunakan media komputer dalam pengajaran agar perlaksanaan PPSMI dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pihak pentadbir pula harus meneliti kelengkapan infrastruktur ICT yang ada di sekolah agar semuanya boleh berfungsi dengan baik dan berkesan.
           Sebagai kesimpulan dapat dikatakan penggunaan media komputer dan internet mempunyai potensi untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Jadi, para guru perlu dibantu bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi ini dalam pengajaran mereka supaya guru-guru Sains dan Matematik ini dapat menyahut cabaran  masa depan dengan lebih yakin.     
           Perkembangan dan kemajuan teknologi perlu diikuti dengan perubahan dalam pendidikan iaitu memanfaatkan penggunaan teknologi secara efektif dan efisien. Walaupun penggunaan teknologi menghadapi pelbagai halangan, ini sepatutnya tidak mematahkan semangat guru untuk menggunakannya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Harus diingat bahawa teknologi hanyalah alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ia tidak akan dapat menggantikan kedudukan guru dalam erti kata yang luas. Pendidikan hari ini  adalah untuk kecemerlangan generasi masa hadapan.

1 comment:

  1. Penggunaan ICT dalam Sains dan Matematik amat menarik minat saya untuk belajar dan memudahkan pembelajaran dan pengajaran serta pelajar cepat memahami sesuatu pembelajaran dengan mudah.

    ReplyDelete